Wednesday, December 07, 2011

Tanpa Tajuk


Takdir itu, takdir kita
biar pahit namun perlu ditelan jua
sememangnya indah diawal perkenalan
namun terpaksa akur
akan kepahitan diakhir cerita

Takdir berkata,
pahit manis itu semua rencah hidup
dengan manis terasanya kepahitan
adanya pahit pasti terselit secebis kemanisan
bersatunya pahit dan manis
terciptalah sebuah kenangan

Takdir mengatur,
kita hanya merencana
segaris impian akan cerianya hidup
namun tidak semudah yang dilakarkan
adakalanya takdir itu lebih berhak menentukan
lebih tahu akan baik buruk sesuatu

Atas nama takdir,
terimalah segala
usah dirayu pada hati yang kian tawar
usah dicalar luka yang lama
usah dirobek hati yang sakit
bahkan,
rawatlah hati dia yang menyayangi
ubatlah jiwanya yang calar
suburkanlah kasih antara kalian
semaikan benih cinta
tanpa sedikit terbelah
ikhlaskan hati menerima insan itu dalam hidup
lepaskan aku bersama kenangan yang membelenggu

Tuesday, November 29, 2011

Selamat Pengantin Baru


Saat lafaz sakinah, 
ikatan murni terpatri antara dua hati
didoakan agar berbahagia hingga ke syurga abadi.

1 muharam 1433 hijrah
bersamaan dengan 27 november 2011
penyatuan dua hati antara dua insan
syed abdul hadi dan sharifah norlyda saidati

dari kejauhan kukirimkan doa
agar mahligai yang dibina berkekalan
seiring dengan redha Illahi.

#excited tengok gambar kahwin mereka. gagaga :)
sayang tak dapat bersama dimajlis akad nikah dan walimah pihak perempuan di kuala kangsar. maklumlah tuntutan sebagai seorang penuntut terpaksa melepaskan kegembiraan menyambut tetamu baru. 3 disember 2011 walimah disebelah pengantin lelaki pula (yang ni baru sepupu aku) pun tak dapat hadir di kuala lumpur. apapun semoga berbahagia hendaknya. nak anak buah banyakbanyakbanyak taw. HAHA :)
abg hadi dah jadi suami orang tak boleh dah nak gurau-gurau macam dulu lagi. :)

**gambar ihsan kakak aku. terima kasih :)

Sunday, November 27, 2011

Sekali Lagi


< andai diberi peluang >
sekali lagi,
inginkan zaman kanak-kanak berulang kembali
diharinya hanya ketawa
difikirannya hanya gembira
dihatinya penuh dengan bebunga
disisinya hanya keluarga yang mencintai

sekali lagi,
inginkan zaman persekolahan dihuni semula
alamnya penuh minat dengan lambakan ilmu
tiada beban menghiasi hari
tiada cinta mengecewakan hati
tiada tangis menghantui diri

sekali lagi,
inginkan detik-detik indah dilalui kembali
agar ia tetap subur diingatan
tetap segar bermain diruangan mata
disaat kesedihan menerpa hati
agar itu bisa menyembuhkan tiap duka dan luka

sekali lagi,
ingin meluruskan segala yang bengkok
menjernihkan apa yang keruh
memutihkan segala yang hitam
menggembirakan apa yang menyedihkan
membanggakan segala yang mengecewakan
dan,
membetulkan tiap-tiap yang salah

namun,
aku sedar hidup ini sifatnya kehadapan
tak boleh diputar apatah lagi dipanggil semula
jadikan masa lalu sebagai iktibar
untuk membetulkan kesilapan yang lepas
agar ianya tidak kembali berulang.

hidup adalah pilihan bukan suatu kebetulan.

Friday, November 18, 2011

Tak Salah


perasaan,
hadirnya tak pernah dipinta
ianya ibarat pakej yang disertakan dalam diri setiap insan
adakala marah, gembira, geram, sayang, rindu, cemburu
tak kurang juga perasaan cinta

cinta,
lumrah kehidupan
ia tegar bertandang dihati setiap manusia
tak mampu menolak tatkala ia menyapa
datang tanpa dipaksa
rasa tanpa dipinta

jangan pernah menyalahkan setiap inci rasa cinta, kasih dan sayang andai ianya tidak berbalas. perasaan itu sesuatu yang abstrak kadang ia hadir bagai taufan dan kadang ia pergi umpama renyai hujan yang lenyap tanpa perasan. ianya satu anugerah dan nikmat bukan suatu kesalahan yang perlu dihukum batinnya dengan ratapan kecewa.

Friday, November 04, 2011

Syukur Jalan Terbaik

 Oke, semalam keputusan peperiksaan akhir dah keluar. Keputusan semester 5 dah keluar ! Bermakna secara rasminya aku dah pun melangkah keluar dari semester 5. Tak payah nak cerita panjang pasal itu sebabnya cakap banyak pun tak merubah apa-apa. Hanya perlu untuk bersyukur. Sikit, banyak, tinggi atau rendah itu semua ialah rezeki. Ya, aku sangat percaya pada rezeki. Apapun kesemuanya lulus. Alhamdulillah, akaun aku agak baik dari apa yang aku sangka. Nasiblah, ibu memahami. Katanya biasalah semakin tinggi kita belajar ianya takkan semudah yang diharapkan. Syukur, itu yang perlu.

Tak dinafikan sedikit terusik dan terpanar dek keputusan tu. Tak sangka akan menurun begitu sekali. Syukur juga sebab masih kekalkan 3 pointer tu. Berapa? Tak dapat nak dikhabarkan kat sini. P & C. haha. Perlu bangkit untuk menamatkan diploma dengan keputusan yang sedikit selesa. Mustahil untuk capai 4.00 tapi berusaha kearah yang lebih baik dari sekarang. Bukan rasa tak cukup, tapi sebagai manusia tak salah jika usaha berterusan untuk mendapatkan sesuatu yang bermanfaat. Allah pun menggesa hamba-hamba-NYA untuk bekerja seolah-olah akan hidup selamanya, dan menyeru hamba-hamba-NYA supaya beribadat umpama kita akan mati esok hari. Jadi, selagi kita masa diberi hayat, usahalah sesungguhnya.

Walaupun seluas lautan ungkapan kecewa, jangan lupa panjatkan kesyukuran setinggi gunung bagai tiada puncak, seluas langit yang tiada penghujung dan sederas Nil yang mengalir tanpa henti hingga kesaat ini. Percaya pada takdir, yakin pada rezeki nescaya yang terbaik dipenghujung nanti. Sesungguhnya, syukur jalan terbaik, dan penawar disetiap duka. Bersyukur itu tandanya kita menghargai setiap apa yang dikurnikan Allah dan Allah sangat suka kepada hamba-hamban-NYA yang bersyukur walau terkadang ianya sesuatu yang pahit untuk ditelan. Dan, beringatlah serendah serta sesusah manapun kedudukan kita ada lagi yang lebih bawah berbanding kita. Itulah perlunya syukur dalam hidup. Kesedihan, kegembiraan, kemewahan, kesederhanaan, kecerdikan dan kejahilan adalah ujian hidup. Pandai-pandailah untuk kita menguruskannya.

Saturday, October 29, 2011

Kerinduan


Saat ianya menyapa, bisa meluluhkan tangkai hati. satu-persatu imbasan kenangan menjelma. ada suka, ada duka. namun, semua itu tetap dalam kenangan kini. kadang-kadang terasa bagai ingin kembali. bukan minta untuk berada dibelakang semula cuma sekadar ingin merasai kembali detik-detik itu. gambar-gambar lama mula dibelek, satu-persatu wajah ditatap lalu seukir senyuman menguntum. lipatan surat, kad-kad ucapan turut dirungkai semula. membaca kembali untuk yang kesekian kali.

Sungguh! kerinduan ini kian membuak-buak didada. sesak menahan setiap rontaan rindu yang semakin bersarang. sukar untuk menzahirkan kerinduan. hanya yang benar merasainya akan memahami betapa sakitnya menanggung rindu.

| MAAHAD AHMADI | KEM PLKN KARISMA KUALA PILAH KUMPULAN 1/SIRI 6 2008 |

wajah-wajah yang ku rindu. jatuh, bangun kita bersama. rindu dengan tarbiyahnya, berprogram, suasana dikelas, rakan-rakan, pendidik dan seluruhnya.
pengalaman berharga. walau seketika cuma namun ia tetap utuh dalam ingatan. rindu untuk berkawad, berkhidmat, berkomand dan seangkatan dengannya.

 sepi seorang perindu.




Thursday, October 27, 2011

Kisah Hati dan Jiwa

Hati,
kadang-kadang berbolak-balik. adakala suka adakala benci. mungkin tak pernah merasa cukup dan puas. itu sebabnya ia sering meradang. untuk memuaskan segala tuntutan hati, adalah sesuatu yang mungkin dipenuhi. asal saja namanya manusia, sering mengeluh kedukaan. benarlah firman Allah dalam surah al-mulk mafhumnya "sangat sedikit orang-orang yang bersyukur". nauzubillah minta dijauhkan dari sifat sedemikian. mohon ketetapan hati agar ditetapkan pendirian diri. tak ingin berpaling lagi pada sesuatu yang tak termiliki. redhakanlah segala apa yang telah dan akan berlaku. janji Allah itu pasti percaya pada takdir insya-Allah yang terbaik bakal menanti.

doa minta hati teguh atas kebaikan:
يا مُقَلّبَ القُلوب ثبِّتْ قلوبنا على دينك ، يا مصرف القلوب اصرف قلبنا إلى طاعتك
"wahai tuhan yang membolak-balikkan hati-hati, tetapkanlah hati kami atas agama-MU. wahai yang memalingkan hati-hati, palingkanlah hati kami kearah mentaati-MU."
(hadith sahih riwayat at-Tirmizi daripada Anas r.a. dan riwayat Muslim daripada Abdullah bin Umar r.a.)

Jiwa,
adakalanya ia terasa kosong. seperti tiada apa yang diisinya. maka, berlakulah pemberontakan dalaman. seakan semua benda tiada erti dan nilai dijiwa. kita terlupa bahawa jiwa itu perlu disemai dan dibajai. tak perlu dengan kepuasan nafsu semata bahkan dengan santapan ilmiah. moga-moga tiada jiwa yang akan terabai, tiada jiwa yang terus kegelapan.

Hati dan Jiwa,
jagailah mereka. pelihara sesempurnanya. biar ianya terasa kosong dan asing dengan cinta manusia tapi bukan dengan si Pemilik dan Pencipta cinta itu sendiri. kesuburan mereka bukan terletak pada setianya cinta insan, bukan juga diukur dengan lautan kemewahan. hati-hati memberi hati takut nanti termakan diri.

sile abaikan. gambar hiasan tak masuk dengan tajuk :) menyendiri dimalam sunyi mungkin boleh menenangkan kegusaran hati betemankan angin bayu pantai. cubelah.


Wednesday, October 19, 2011

•✿Yang Pahit Kerana Terluka Pasti Ada Manisnya •✿

 
Bukan kita tak pernah menderita tapi semuanya kita simpan
bukan kita tak pernah kecewa tapi semuanya kita pendam
derita yang kita rasa amat mencabar jiwa maka, doa kita jadikan sandaran
sabar, tabah. Bila dia pergi kita redha dengan perpisahan.

"kita yakin ALLAH bersama orang-orang yang sabar. Setelah sekian lama hujan berpenghuni di hati ALLAH hadiahkn pelangi yang indah"

Meniti waktu dambaan hati sebagai insan terganti sedih menjadi gembira..
ALLAH sayang hamba-hambaNya. ALLAH Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya.

Tiba masanya, ALLAH hadirkan seseorang dalam hidup kita sampai seru jodoh kita telah ALLAH tetapkan..

Dipenghujung mencari cinta hidup tidak lagi sepi,
"Ya ALLAH, Andai Telah Ditakdirkan Dia Jodohku, Maka Aku Terima Dia Seadanya restuilah perhubungan kami Ya ALLAH. Menagih kasih sayangMu, bahagia dunia dan akhirat..amin
:: teman hati ::

Friday, October 14, 2011

Examination Mood

Alhamdulillah, 4 paper dah berlalu. Berbaki lagi 2 paper. Cukup terseksa otak bila 4 hari berturut-turut didera. Faham, hafal, ingat dan hadam. Dalam 4 paper tu yang buat aku terasa paling menekan dan teringat-ingat kat otak ni ialah kertas Fiqh III (jinayat a.k.a jenayah la). Agak mencabar dan rumit jugaklah. Itu pun mujur pensyarah ade bagi hint sikit-sikit. Kalau tak mau menangis tak berlagu. Yang lain tu tak ade la yakin sangat boleh cemerlang tapi boleh la.

Gape untuk 2 hari. Tapi, hari pertama aku sangat malas nak mengulang. Macam sia-sia pulak habiskan masa macam tu je. Tidur, online,muat turun drama dan menonton. Kononnye nak study malam lah. Konon je. Last-last serius study bile pukul 11.30 malam. Itupun macam ye macam tak je. Penyakit apekah?

Oke, sabtu ni akaun. Memang senang sangat. Setakat asas apelah sangat. Tapi, otak aku tak boleh terime.waaaaaaaa. Aku bukan manusia yang dicipta untuk suka pada nombor dan kira-kira. Matematik pun toksah tanye lah dapat berape. Buat malu kaum je. Inikan pulak akaun, lagi laa.. Ingat dulu tak amik akaun akan terlepas. Yelah pengajian islam takkan ade akaun jugak. Ikut logik memang tak logik. Bile dah name KONTEMPORARI ISLAM, aku rasa tak mustahil kalau ade subjek add math pulak. Rupenye pentadbiran islam pun kene jugak tahu asas akaun ea. Yang peliknye masa buat offer letter kat aku takkan tak tengok result spm. Ade amik akaun ke tak, matematik tu A1 ke tidak tak pun sekurang-kurangnye B la kan. Ini tak, asal boleh. Ramai jugak yang takde asas akaun mase spm maghin. Tapi, bile dah belajar macam boleh go on je. Macam je bile tengok carry mark tu pun ade jugak task yang aku copy. Copy tau bukan TIRU.haha. Untuk final aku tak pasti la boleh ke tak. Wait and see je la ape yang akan berlaku pada kertas jawapan aku. haha.

antara silibus dan nama-nama besar dalam bidang ekonomi

Ahad, last paper aku ade makro ekonomi. Nasib baik zaman aku dah tukar makro ekonomi mengikut perspektif ISLAM. wooo00oo. Bukan setakat makro je mikro pun same. Kalau ikut makro dan mikro yang sebenar ade tergolek, tersungkur pointer aku. Orang kate, lagi mencabar sebabnye semua adalah fakta. Perlu diingat. Betul ke? Mungkin itu orang-orang nombor kot. Kalau aku opkos la yang ni lagi senang. hehehe. Manusiakan tak same masing-masing ade pandangan sendiri.


Cukuplah untuk kali ni. Bace pun tak banyak. Main saja. Aduiii. Bace sambil menunjuk ajar akaun (mane yang tahu je) kat kawan aku sorang ni. Macam ketam ajar anak berjalan aku rase. hahaha. Tapi ok la jugakkan sekurang-kurangnye akaun masuk makro pun masuk. Fair and square. Untuk madam, saya taknak A pun cukuplah setakat lulus je. Tak larat nak repeat.


Wednesday, October 12, 2011

Maafkan Aku


Maafkan aku,
membiarkan sapaan itu. memilih untuk terus membisu. kerna takut ada hati yang yang akan terganggu.
Aku tahu,
huluran mu sebagai teman biasa. tapi, aku serik untuk terus menyambutnya. serik untuk disakiti untuk kesekian kali. serik untuk ditinggal pergi sesuka hati. pernah dulu dirimu ku sambut kembali. entah yang keberapa kali aku juga tidak pasti. namun, diriku dibuang dibuang lagi. kau menghilang, sepi tanpa sebaris bicara. salah akukah? 

Dan,
hari ini kau kembali. untuk apa aku tak pasti. mungkin mencari peneman dikala sepi. atau sekadar memberi kata semangat. terima kasih. 
Aku,
tak mahu meragut kebahagiaan insan itu. aku tahu hatinya terlalu banyak berduka kerna ku. aku juga tidak mahu hidup antara kau dan dia. bukan cemburu tapi menyesakkan. ya, keadaan itu mampu membuatkan hari-hari ku diselubungi pilu. seperti suatu ketika dahulu. walau kita hanya berkawan, tapi kita tetap akan dikaitkan dengan kisah lama itu. sungguh aku tak mahu ia terus diperkatakan dan menjadi penghalang ikatan persahabatan ini. tapi, apakan daya, sederas lautan aku menepisnya ia akan kembali terpalit kemuka juga.

Mungkin,
kita memang tidak ditakdirkan untuk bersama walaupun sekadar teman biasa. izinkanlah aku untuk terus berdiam sepi. terima kasih untuk segala perhatian buat diri ini. bukan aku yang perlukan kekuatan darimu tetapi insan itu. maafkan aku untuk segalanya. kecapilah bahagia itu bersama dia.
untuk kau, 
yang sentiasa mengikuti perkembangan aku dilaman ini.

0319 minit pagi 
masih terkebel-kebel didepan laptop
setakat ini dulu 
pagi nanti exam undang-undang pentadbiran menanti.

Monday, October 10, 2011

Hari Ini Dan Semalam

Salam pertemuan kembali.

Semalam 09-10-11. 


Cukup cantik susunan tarikh ini. Pertamanya nak ucapkan tahniah kepada kakanda ku Cik Sharifah Khalijah bt Syed Rosalan diatas Majlis Konvokesyen Graduan Malaysia Universiti Al-Azhar, Mesir kali ke-6 semalam yang diadakan secara langsung dari Dewan Al-Azhar Conference Center Nasr City. Pakat tengok online. Tapi, aku tengok agak lambat sebab exam petang. Maklumlah grand finale exam dah mula. Dapat tengok suasana pun kira puas dah. Akhirnya, setelah 5 tahun berhempas pulas dibumi barakah berjaya juga menggenggam segulung ijazah. I'm proud with you sis. Masih tak dapat sekeping gambar pun dari dia. Kejam betul ! Internet bermasalah katanya. Takpetakpe nanti kalau dah ada gambarnya insya-allah aku hapdate lagi.

Hari ini 10-10-11.

Ulang tahun kelahiran sayang saya yang ke-3 tahun. The cutest Princess Aqilah Aishah bt Suhimi. May Allah bless you always my dear. Rindu nak dengar awak berceloteh. Tapi KL (jangan tanya KL tu ape. private and confidential) tak cukup kredit nak telefon awak. hehe. No noti-noti ye sayang. A big hug for you mmmmhhhuuuuuahhhkkz !

Oke. Memang sempoi. Kejap lagi ade paper jam 2.30 petang. Subjek Pentadbiran Kewangan. Tapi boleh lagi mengadap laptop, sempat lagi menghapdate blog. Otak kate dia dah tak boleh nak terima lagi. Overload dah ni. Kesian otak. Disebabkan aku ni memang consider dekat rayuan cik otak jadi aku pun cari keje yang boleh menenangkan cik otak ni. Tapi, janji dengan aku kejap lagi boleh bekerjasama memberikan yang terbaik dalam dewan pekse ye. Oke rasa memang macam dah mereng sikit dah. Mohon doa semua. Nak belek-belek, nak tinjau-tinjau balik nota.


Saturday, October 08, 2011


Salam pertemuan kembali.
Selangkah ke minggu peperiksaan akhir bagi semester ini. Seminggu cuti ulangkaji, namun seakan tidak dimanfaatkan sebaiknya. Semakin khayal didunia sendiri. Berfantasi, berimaginasi serta berangan-angan mat jenin sering melengkapi hari-hariku. Hakikatnya jasad memang disini, dihadapan nota-nota serta alat tulis namun fikiran menerawang entah kemana. Kadang-kadang aku jadi bingung sendiri. Tak mengerti apa mahunya hati.

Gentar. Ya, mungkin itu yang sedang bermain dihati. Resah menanti hari itu. Mampukah aku buat yang terbaik sebagai bayaran untuk kedukaan aku yang lepas? Akan ku cuba sedayanya agar tidak kukecewa diakhir nanti. Jika ditanya pada diri, sungguh ku mahu ianya cepat berlalu. Biar tenang jiwa ku, biar hilang lenyap segala kegusaran ini. Tapi, jika ditanya pada otak, nescaya aku menginginkan sebanyak masa yang boleh untuk mempersiapkan diri.

Selamat menghadapi peperiksaan akhir semester buat warga Pentadbiran Islam UnisZA. Semoga usaha seiring dengan kejayaan dan semoga NAJAH juga seiring dengan sebaris nama ku NAJIHAH.

Sunday, October 02, 2011

BuatMu,Kalian,Mereka dan Aku: Hawa

Hawa,
Andai engkau masih remaja, jadilah anak yang
solehah buat kedua ibu bapamu, andai engkau
sudah bersuami jadilah isteri yang meringankan
beban suamimu, andai engkau masih ibu, didiklah
anakmu sehingga dia tidak gentar
memperjuangkan ad-din Allah.

Hawa,
Andai engkau belum berkahwin jangan kau risau
jodohmu, ingatlah Hawa janji Tuhan kita, wanita
yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Jangan
dimulakan sebuah pertemuan dengan lelaki yang
bukan muhrim kerana aku khuatir dari mata jatuh
ke hati, maka lahirnya senyuman maka
tercetusnya salam dan sekaligus disusuli dengan
pertemuan takut lahirnya nafsu kejahatan yang
menguasai diri.

Hawa
Lelaki yang baik tidak melihat paras rupa, lelaki
yang soleh tidak memilih wanita melalui
keseksiannnya, lelaki yang warak tidak menilai
wanita melalui keayuannya, kemanjaannya, serta
kemampuannya mengoncang iman lelaki. Tetapi
lelaki yang baik akan menilai wanita melalui
akhlaknya, peribadinya dan yang penting
pegangan agamanya.

Lelaki yang baik juga tidak menginginkan
pertemuan dengan wanita yang bukan muhrimnya
kerana dia takut memberi kesempatan kepada
syaitan untuk mengodanya. Lelaki yang warak
juga tidak mahu bermain cinta kerana dia tahu apa
matlamat dalam sebuah pertemuan lelaki dan
wanita yakni sebuah perkahwinan.

Oleh itu Hawa,
Jagalah pandanganmu, awasilah auratmu,
peliharalah akhlakmu, kuatkan pendirianmu. Andai
ditakdirkan tiada cinta daripada Adam untukmu,
cukuplah hanya cinta Allah memenuhi dan
menyinari kekosongan jiwamu, biarlah hanya cinta
daripada kedua ibu bapamu yang memberi hangat
kebahagiaan buat dirimu, cukuplah sekadar cinta
adik- beradik serta keluarga yang membahagiakan
dirimu.

Hawa..
Cintailah Allah di kala susah dan senang kerana
kau akan memperolehi cinta daripada insan yang
juga menyintai Allah. Cintailah kedua ibu bapamu
kerana kau akan perolehi keredhaan Allah.
Cintailah keluargamu kerana kau tak akan jumpa
cinta yang bahagia selain dari cinta keluarga.

Janganlah sesekali tangan yang mengoncang
dunia juga yang mengoncang iman lelaki.
*dipetik dari post seorang kenalan dilaman sosial. Berkongsi untuk kebaikan.

Saturday, October 01, 2011

Hye Kawan


Ok, memang agak lame menyepi. Sibuk dengan pelbagai hal. Ade jugak jenguk-jenguk blog ni tapi masih tiada hal ingin ditulis. Bile tengok kat shoutbox tu ade pulak komen yang menimbulkan tande tanye. Hanya tinggalkan nama sebagai 'pak cik'. Bile diamati dari cara penulisannya seakan aku tahu siape die. Oh, ya baru aku tahu selame ni entri aku tu banyak menunjukkan sifat keberlagakkan. Terime kasih ye 'pak cik' sebab sedarkan aku.

Tak perlu rasenye nak tinggalkan komen bodoh macam tu kalau ade rase tak puas hati dengan aku. Aku tak kacau hidup kau, jadi aku mohon agar kau pun tak kacau hidup aku. Aku pun tak tahu ape sebabnye kau buat macam tu. Jelaskan diri kau sebenar kalau betul berani. Berani kerana benar, takut kerana salah. Tak payah nak jadi manusia pengecut ! Dah baling batu, sorok tangan. Ape punye orang la kau ni.

Dah 2 kali sebenarnya aku dapat komen yang berunsur dendam dan sakit hati kat aku ni. Cuma aku malas nak gaduh dengan manusia yang aku sendiri tak tahu asal usul. Tup-tup komen macam orang gile. Jangan buat perkara yang menunjukkan kebodohan sendiri. Malu la. Bertindak sebagai manusia yang mempunyai akal fikiran yang waras, bukan membabi bute akhirnye memakan diri sendiri. Harap 'pak cik' boleh bace lah entri ni dengan baik tanpe perlu melenting tak tentu pasal. Sendiri cari penyakit. Hamikk !

Saturday, September 24, 2011

Ke Gerbang Imtihan

Salam mesra semua.

Hanya berbaki seminggu sahaja lagi untuk menamatkan sesi perkuliahan bagi semester ini. Kemudian, akan bertemu pula dengan fasa 'study week'. Hanya seminggu untuk mentelaah segala macam subjek. Dan gerbang imtihan akan bermula seawal 9 oktober 2011 sehingga 16 oktober 2011. Semester ini sangat mencabar kerana banyak benda baru dipelajari ditambah pula 4 subjek awal yang agak berat perlu diduduki secara berturut-turut. Mohon dikurniakan kekuatan mental dan fizikal untuk mengharungi gerbang ini.

Teringat pesanan seorang pensyarah,
Kepada semua pelajar dikasihi yg akan menghadapai minggu akhir belajar.Kuatkan diri.Rendahkan hati.Semakin menekan, semakin kukuh peribadi.Pada masa inilah akan diuji kerana apa kita belajar.Exam? Grade? Ibubapa atau ALLAH.Ingatlah pesan Imam Syafie. "Belajarlah ilmu kerana ilmu itu sendiri bukan kerana pangkat, atau kelulusan".Pada masa inilah koreksi diri, bagaimana prestasiku adakah bertambahnya ilmu bertambahnya adab dan amalku?

Muhasabah sendiri. Tepuk dada, tanyalah iman. Mohon doa semua agar dimudahkan segala urusan. 

Monday, September 19, 2011

Sakit



Sayang itu memang menyakitkan
bila harus dilukakan
Sayang itu memang menyakitkan
bila mana harus dikecewakan
Sayang itu memang menyakitkan
bila terpaksa menelan pahitnya hubungan
Sayang tidak bermakna memiliki
bahkan ia membuat kita bersedia
untuk berkongsi
Berkongsi kasih dan sayang
diantara mereka yang disayangi
insan kesayangan kita

dalam hubungan ini,
kamu bebas untuk menyayangi sesiapa
aku telah merelakan segala yang akan dan mungkin terjadi
mungkin benar,
naluri memiliki itu ada cuma harus bijak mengawalnya
ku yakin,
dirimu membutuhkannya bahkan menyayangi dia
walau itu tidak pernah kau ucapkan padaku
namun,
naluri ini amat merasakannya
dan aku memahami setiap bait kata-kata mu itu
usah gundah,
aku sudah bisa menerima
walau didalam ini amat pedih menanggung
aku tidak tegar melihat keadaan dirimu kini
begitu bersungguh kamu mempedulikan keretakan kalian
malah mengalahkan kegusaranmu terhadapku suatu ketika dulu
kamu,
sesakit apapun yang kurasakan
dan
sepilu manapun hati ini,
aku akan tetap terus menyayangi diri kamu
biarpun terpaksa berkongsi sayang dan perhatian itu.
terima kasih kerana terus ada untuk aku
semoga kalian akan berbaik-baik seperti selalu.

aku mampu merawat sendiri.  
biarkan aku bersama luka dihati. sikit masa aku pasti ia kembali pulih. bukan niat menambah beban perasaan kamu cuma sedikit lontaran hati yang mampu untuk melegakan diri.

Friday, September 16, 2011

Suka-Suka

Hobi : seni fotografi sejak kecil. Bergambar, mengambil gambar memang paling digemari. Tiada kelas penggambaran mahupun edit-mengedit. Kecik-kecik dulu abah yang ajar. Kamera pertama canon yang pakai kodak dan bateri jam tuu. Sejak tu minat dengan fotografi. Cuma tak dikembangkan minat tu sebab tak serius sekadar suka-suka.

Bila dah besar sikit baru kenal kamera digital. Lagi senang. Macam-macam fungsi ada. Naik universiti kenal pulak dengan DSLR. Mula-mula tengok orang punya ja. Mak oii harge dia kalo tak de sebelah tangan (kalau second la) tok sah berangan. Abang aku beli apelagi dok godeh la. Tapi, tak reti-reti sampai sekarang. Snap jelaaa. Ada rezeki sikit aku beli kamera sendiri. Digital jela mampu.

Hobi ke-2 selepas bergambar dan mengambil gambar : edit-mengedit gambar pulak. Seronok sangat. Rasa macam puas je tengok hasil sendiri. Teringin nak ambil gambar yang seni dan abstrak tapi tak pandai lagi. Need some lesson kot. Tak pe akan ku cuba juga.Walaupun pakai kamera murah atau kekadang tu pakai kamera henset je tapi bila dah edit memang puas hati. Hasil sendirikan. Biarlah kalau orang nak kate buruk pun janji sendiri suka sudah. Silalah tengok hasil-hasilnya dibawah ini.
















memang saje taknak rotate.

juling-julingkanlah mate tu nak tengok :)

pusingkan lah lappy tu yerk :D


Aku taklah expert sangat bab edit ni. Teringin nak edit pakai adobe photoshope tapi tak pandai. Dulu suka guna photoscape bile ps tu dah buat hal (tetibe jadi arabic pulak mule-mule boleh la lagi lama-lama aku dah pening) terus je edit online pakai picnik. Gambar-gambar kat atas ni campur-campur ps ade, picnik pon ade. Ni la antara gambar-gambar yang aku dah edit. Takkan nak masuk semua pulak kan.

Wednesday, September 14, 2011

Bersabarlah

Takut akan kegagalan. Lemah saat disapa ujian. Sakit tika menjadi yang paling bawahan. Mulai sedar waktu kesenangan itu diragut. Mulai mengingat yang maha Esa kala ditimpa musibah walau hakikatnya rukun yang satu itu sering ditunaikan.

Rintihan hati, biarlah natijah seiring usaha. Andai itu yang terbaloi buat diri bersabarlah menanti hasil yang lebih besar suatu saat nanti. Bukan kegagalan semakin menghampiri cuma kejayaan itu tertangguh sebentar. Pasti pulangan yang lumayan buat hamba-hamba yang berusaha dan bersabar meniti liku-liku cabaran yang mendatang. Bukan sebagai pelemah diri bahkan suntikan semangat dikemudian hari.

Buangkan iri itu sejauh mungkin agar tidak ia bertapak mengotori hati. Yakinlah pada perancangan Allah nescaya tiada ragu dalam kamus hidup. Rezeki masing-masing tidak sama nilainya. Pasti ada bahagian buatku kelak. Teruskan usaha titipkan sabar dalam diri.

Meniti sabar dan redha,
"Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)." 
*surah al-Imran ayat 200

menggapai kejayaan, mencipta nilai kehidupan ,