Wednesday, July 13, 2011

Takdir Sedang Berbisik


Impian adalah milik setiap insan. Impian yang indah adalah angan-angan yang tinggi. Setiap orang berhak memasang angan dan cita masing-masing tiada siapa boleh menghalangnya. Begitu juga aku. Punyai impian untuk belajar ke timur tengah suatu ketika dahulu.

Keputusan SPM aku tidaklah cemerlang tapi memuaskan. Walaupun tidak banyak mengumpul A tapi, aku berjaya dipanggil temuduga untuk mendapatkan biasiswa melanjutkan pelajaran ke Jordan atau Morocco. Hanya 7 orang dari sekolah aku layak untuk ditemuduga nisbahnya 6:1 maksudnya 6 lelaki 1 perempuan. Impian ini telah terpasang sejak aku ditingkatan 1 lagi. Aku akui, aku bukanlah dari kalangan pelajar cemerlang disekolah. Tapi, aku rasa tidak mustahil suatu hari nanti impian ini akan terlaksana. Usai temuduga hanya doa kupanjatkan agar diberikan yang terbaik untuk diri ini. Aku tidaklah terlalu mengharap kerana semua calon-calon yang hadir temuduga tempoh hari hebat-hebat belaka. Terasa kerdil diri ini dihadapan mereka barangkali kelayakan aku yang paling rendah.

kredit untuk sahabatku  yang telah berjaya menggapai cita-citanya untuk ke Jordan selepas permohonan kali yang kedua ketika sedang menuntut bersama-sama aku disini sewaktu semester 3 yang lalu. Aku tak janji akan kesana sahabat tapi doaku mengiringi perjalanan mu.
Beberapa minggu selepas itu, aku dikhabarkan calon yang layak untuk ke Jordan dari sekolah ku cuma 2 orang. Seorang lelaki dan seorang lagi perempuan. Hampir menitis airmata ini tatkala mendengar perkhabaran dari seorang ustaz. Benarkah ini? Hatiku mula berbolak-balik antara gembira dan sedih. Antara ingin menerima atau menolak. Aku juga kurang pasti. Namun, kegembiraan itu hanya singgah buat seketika. Perkhabaran itu semata-mata khabar angin yang bertiup. Tiada surat mahupun telefon dari pihak tersebut untuk memaklumkan tentang kursus dan sebagainya sebelum berangkat kesana.

Aku sedih dan kesedihan itu ditambah lagi dengan panggilan telefon dari seorang teman yang berjaya menempah tiket untuk ke Jordan. Dia mengatakan bahawa 'kita' sama-sama akan kesana dan mengikuti kursus yang akan dijalankan tidak lama lagi. Aku bingung. Permainan apakah ini? Ku gagahkan juga untuk menceritakan hal sebenar kepadanya walau dihati ini sebak untuk berkata-kata. Namun, disangkal oleh dia. Katanya ayah dia sendiri yang memberitahunya. Tidak mengapalah mungkin bukan rezekiku. Semoga engkau berjaya disana.

insan ini yang menjadi keutamaan ku. insan ini juga ku cintai sepenuh hati.
Kepada abah dan ibu ku luahkan segala kesedihan. Abahlah orang paling kecewa. Sungguh! Kekecewaan itu jelas terpancar dari raut wajahnya. Masakan tidak, dialah yang bersungguh-sungguh mengambil borang permohonan dan kesana-sini menguruskan hal aku. Sehingga kini aku masih teringat akan kata-katanya "abah ingin nak tengok semua anak-anak abah berlajar diluar negara biarlah abah susah asalkan anak-anak abah berjaya" ya Allah menitis airmata mendengarkan impian abah. Abah, maafkan adik sebab tak mampu nak turutkan impian itu. Bukan adik tak cuba tapi mungkin takdir adik disini saja. Tapi, abah tetap ada anak yang menuntut diluar juga kan. 

Ibu, insan yang tak lekang memberikan kata-kata semangat. Allah itu maha mengetahui bisikan hati seorang ibu. Ya, memang ibu gembira bila aku terpilih untuk ditemuduga tapi, aku tahu ibu juga keberatan ingin melepaskan aku pergi jauh. Katanya biarlah adik disini je temankan ibu. Aku tersepit antara impian dan insan tercinta. Ternyata naluri ibu itu sangat kuat. Akhirnya, berkat doa ibu aku ditawarkan untuk kesebuah institusi pengajian tinggi dimalaysia. Memang institusi itulah yang ibu harapkan aku pergi. Sehingga kini aku masih lagi menghabiskan sisa-sisa masa yang masih berbaki untuk ku tamatkan sesi pengajian yang pertama.

Harapan dan impian abah belum terhenti. Dia masih lagi mahu aku ke Jordan untuk menyambung pengajian keperingkat seterusnya. Aku juga begitu. Namun, dari sehari ke sehari impian itu seakan semakin terkubur. Aku tidak yakin bahawa aku mampu untuk kesana dan aku tidak sanggup berhadapan dengan kekecewaan kali yang kedua. Sangat pedih bila impian yang seakan nyata runtuh dan musnah begitu sahaja. Jangan berikan aku harapan andai itu cuma gurauan.

Setiap kali melihat gambar, menerima khabar dan berkongsi cerita dengan rakan-rakan disana, aku terasa terkilan. Bukan menyalahkan takdir tapi itu hanya perasaan yang sering bertandang. Tahun ini sekali lagi aku melihat gambar-gambar dan membaca cerita adik-adik junior ku yang sedang berkursus sebelum berangkat ke timur tengah. Sentap hati ini dan hanya doa yang mampu mengiringi perjuangan ilmu kalian disana. Tahniah buat adik-adik yang berjaya untuk kesana. Gunakanlah peluang ini dengan sebaiknya.


Benar kata ibu, hikmah itu tidak nampak tapi hanya boleh dirasai. Allah memudahkan segala urusan pengajian aku disini. Allah lebih mengetahui kemampuan aku dan apa yang terbaik buatku. Takdir sedang berbisik disetiap langkah dan hayunan kaki ini. Moga takdir itu membawa kebahagiaan buat diriku. Tiada seorang pun mampu mengubah takdir andai ianya bukan untuk kita hatta sudah ditangan juga belum tentu dapat digenggam.

~Takdir Sedang Berbisik~

2 comments: