Tuesday, June 14, 2011

Segala Yang Indah Ada Padanya

puan safiah binti haji kassim insan ini yang teramat istimewa dalam hidup

Terasa ingin berlari saat ini dan memeluk erat tubuhnya. Saat aku kecewa dia sentiasa menemani, saat aku gembira sedikit tidak ku melupai. Senyumannya langsung tak pernah lekang walau sepenat apapun. Seorang yang tegas dan tetap pendirian juga seorang yang tabah. Sangat rajin berusaha hobinya pula suka memasak. Sering memasak segala macam makanan kesukaanku, abah, kakak dan abang. Buku resepinya tebal dan banyak. Macam-macam ada dari masakan lauk-pauk sehinggalah kuih-muih. Sebab itu ibu tak suka membeli kuih-kuih dipasaran apabila tibanya syawal. Tak sedap katanya baik ibu yang buat. Walaupun penat seharian bekerja, namun juadah tu biarlah dari air tangan sendiri untuk anak-anak dan para tamu. Sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada aku dan adik-beradik yang lain. Seteruk apapun keputusan yang kami dapat ibu hanya tersenyum dan kata-kata semangat sering dibisikkan. Aku tahu kiranya ibu kecewa dan aku mula berazam untuk memperbaiki kekurangan agar mampu kembalikan ceria diwajahnya.

Ibulah tempat mengadu, berbual, bergurau dan berkongsi cerita. Kata ibu " doa ibu sentiasa yang baik untuk anaknya. adik boleh! " hampir mahu menitis air mata ini saat membaca pesanan ringkasnya kelmarin. Sungguh! aku mula bersemangat kembali untuk meneruskan perjuangan dimedan menuntut ilmu ini. Aku akan buat yang terbaik demi ibu dan abah. Semoga doa ibu seiring dengan usaha. Benarlah kata-kata segala yang indah ada pada insan ini, IBU. Tiada yang lebih bernilai yang dapat menggantikan dirimu. Semoga sentiasa dibawah rahmat dan kasih sayang Allah dan dikurniakan kesihatan yang baik. Adik amat menyayangi ibu.

ketika menyambut ulang tahun aku yang ke-20 tahun pada 9 jun 2011

2 comments: