Sunday, April 03, 2011

:: Saat pengakhiran hidup ::

Saat talkin dibacakan tiada siapa yang menemani, hanya amalan yang bisa menerangi

Jam 8.30 pagi tadi aku dikejutkan dengan panggilan telefon dari kakak sepupu aku memberitahu tentang berita kematian nenek saudara kami. Sentap hati aku mendengar khabar itu. Rasanya baru sangat aku menziarahi jenazah menantu perempuan dia pada pertengahan tahun lepas yang meninggal akibat barah darah beberapa minggu selepas melahirkan anak yang ke-4. Ya ALLAH, sungguh hebat perancangan Engkau. Sesungguhnya ujian dari-MU itu bertimpa-timpa keatas keluarganya. Hanya Engkau yang Maha Mengetahui hikmah disebalik kejadian ini. Rasa terkilan kerana tak dapat menziarahi jenazahnya untuk kali terakhir dek kerana kekangan jarak dan masa. Perjalanan Terengganu ke Johor pun bukanlah dekat hanya Al-Fatihah dan Yasin mampu kukirimkan sebagai penemannya dibawah sana.

Apatah lagi kakak aku yang berada jauh di Mesir mesti dia lebih-lebih lagi merasai kesedihan itu. Maklumlah, setibanya kakak aku di Malaysia tempoh hari (OPS Piramid) arwahlah yang beria-ia mengadakan kenduri doa selamat sekali dengan kenduri arwah menantunya yang ke-100 hari. Memang arwah nak sangat berjumpa dengan kakak aku tu.Yalah kan hampir 3 tahun tak bersua dan dalam tempoh 5 tahun dia di sana, sudah 3 orang nenek saudara yang telah kembali kerahmatullah. Sungguh! Itulah detik yang tak mampu aku lalui dan kudengari jika aku melanjutkan pelajaran diluar negara. Perkara itulah yang sering aku terfikir tiap kali aku berangan-angan menyambung kesana. Lebih-lebih lagi jika berkaitan dengan keluarga sendiri. Itulah dia ajal maut tak dapat dirancang walaupun nenek saudara aku tu nampak sihat je pada zahirnya tapi bukanlah mustahil untuk ALLAH mengambilnya semula. Kakak aku ade cakap terdetik kat hati dia mungkin ni kali terakhir dia dapat cium tangan dan berjumpa dengan arwah. Perjanjian itu telahpun terlaksana. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan ornag-orang yang beriman. Takziah diucapkan kepada seluruh keluarganya. Janganlah diratapi pemergiannya tapi sedekahkanlah amal ibadah untuknya sebagai tanda kasih dan sayang kita. Pada yang hidup teruskan melabur saham-saham kita untuk bekal akhirat.

Sebagai peringatan dan renungan bersama

Kematian adalah sesuatu yang tidak dapat dielak kerana setiap manusia pasti menghadapi maut. Tentang kesakitan yang dirasai ketika sedang bertarung dengan maut, Rasulullah saw menjelaskan dalam hadis-hadisnya bahawa sakit ketika hampir mati itu laksana kesakitan ditetak seratus kali dengan pedang yang tajam atau seperti dikoyak kulit dari daging ketika hidup-hidup.
Amatlah beruntung seseorang itu sekiranya dia mati dalam keadaan khusnul khatimah (kebajikan) dan adalah menyedihkan sekiranya dia mati dalam keadaan suul-khatimah.

Tentang tanda-tanda samada seseorang itu akan mendapat kebajikan atau tidak, terdapat hadis Rasulullah saw dari Salman Al Farisi yang bermaksud:

"Perhatikanlah tiga perkara kepada orang yang sudah hampir mati itu:

Pertama: berpeluh pada pelipis pipinya

Kedua: berlenang air matanya dan

Ketiga: lubang hidungnya kembang kempis

Itu adalah tanda bahawa rahmat Allah sedang turun dan dirasai oleh orang yang hampir mati itu. Sebaliknya jika ia mengeruh seperti tercekik, air mukanya nampak gelap dan keruh dan mulutnya berbuih, ini menandakan azab Allah sedang menimpa dia."

(Hadis riwayat Abdullah, Al-Hakim dan At-Tarmizi)


Berdasarkan hadis ini, ada sebilangan mukmin yang ketika hampir mati, masih terdapat sisa-sisa dosa padanya. Namun Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani menentukan orang itu mati dalam keadaan khusnul khatimah dan mengampuni segala dosa-dosanya itu.

Dipercayai bahawa kematian berlaku pada jasad manusia secara beransur, dari hujung kaki ke peha. Apabila rahmat diturunkan padanya kerana mati dalam khusnul khatimah ini, si mati akan merasa terlalu gembira dan kegembiraaan itu terlahir dengan keluarnya peluh pada pelipisnya.

Air mata yang keluar dan hidung yang kembang kempis pula adalah tanda bahawa si mati amat malu pada Allah SWT terhadap sisa-sisa dosanya yang belum sempat ditaubatinya. Orang-orang yang kuat imannya akan merasa malu untuk melakukan dosa semasa hidupnya kerana merasa bahawa Allah sentiasa memerhatikannya. Oleh itu, disaat kematiannya, Allah melimpahkan rahmatNya dengan mengampunkan dosa-dosanya.

Orang-orang yang kafir pula, dia tidak merasa malu pada Allah SWT. Oleh itu apabila nyawanya hendak dicabut oleh Izrail, wajahnya gelap dan keruh dan dia mengeruh seperti binatang yang disembelih. Ini juga merupakan penanda bagi azab yang diterimanya disebabkan oleh dosa-dosa dan kekufurannya.

Dari Alqamah bin Abdullah, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

"Bahawa roh orang mukmin akan ditarik oleh Izrail dari jasadnya dengan perlahan-lahan dan bersopan sementara roh orang kafir pula akan direntap dengan kasar oleh malaikat maut bagaikan mencabut nyawa seekor khimar."

Terdapat juga orang mukmin yang berdosa, dan Allah menimpakan kekasaran dan mala petaka sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir sebagai kaffarah atas segala dosanya.

Oleh itu apabila rohnya keluar dari jasad, dosanya telahpun terhapus.

Kadang-kadang kita melihat seorang mukmin yang mati dalam kepayahan dan seorang kafir yang mati dalam ketenangan. Hendaklah kita berbaik sangka dengan orang mukmin tersebut kerana mungkin itu merupakan kaffrarah terhadap dosanya dan dia menemui Allah SWT dalam keampunan kerana sisa-sisa dosanya telah pun dikaffarah.

Orang kafir yang mati dalam ketenangan pula, mungkin semasa hidupnya dia berbuat kebajikan dan itu adalah balasan terhadapnya kerana janji Allah bahawa setiap kebajikan akan dibalas.

Tetapi kerana dia tidak beriman, kebajikan itu tidak menjadi pahala dan kekufurannya akan diazab di akhirat kelak.
Oleh itu, kita yang masih hidup harus sentiasa berbaik sangka dan mengambil iktibar terhadap segala yang berlaku. Moga-moga kita akan menemui Allah dalam keadaan khusnul khatimah dan dalam limpahan rahmat dan keampunanNya. Amiin.

2 comments:

  1. Al-fatihah...semoga arwah ditempatkan bersama orang-orang beriman...amin..

    ReplyDelete